KUALA LUMPUR: Prihatin dengan cabaran pekerjaan yang digalas oleh petugas perkhidmatan e-hailing, syarikat pengeluar produk kesihatan, Eskayvie Sdn Bhd, turun padang memberi sumbangan dan bantuan kepada lebih 600 penghantar makanan sempena bulan Ramadan ini.
Menurut Pengarah Urusan Eskayvie, Kartika Wati Mohamed, program murni itu bermula dari jam 8 hingga 10 pagi tadi di perkarangan ibu pejabat Eskayvie, di sini hari ini.
“Program Bingkisan Raya Rider 2023 ini adalah hasil kerjasama bersama Yayasan Eskayvie. Ia merupakan salah satu cara untuk kami menyumbang semula kepada masyarakat yang memerlukan.
“Saya juga berpegang pada kata-kata iaitu, sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain,” katanya.
Selain itu, jelas Kartika Wati, tugas ‘rider’ yang juga pekerja barisan hadapan menjalankan perkhidmatan penghantaran sebenarnya sangat mulia kerana membantu memudahkan urusan orang lain.
“Namun begitu, mereka juga sangat terdedah kepada pelbagai risiko seperti penyakit dan kemalangan. Oleh itu, Eskayvie ingin memberikan sokongan dan suntikan semangat kepada mereka agar dapat terus memberikan perkhidmatan dengan baik.
“Sebagai syarikat yang berpegang teguh kepada visi Memperkasakan Kesihatan Dan Ekonomi Ummah, Eskayvie sangat prihatin terhadap pentingnya kesihatan setiap individu di dalam usaha menjana ekonomi keluarga. Jika badan sihat, pastinya tugas dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, Duta Eskayvie, Datuk Aznil Nawawi, sangat menyokong usaha murni serta keprihatinan jenama itu terhadap keselamatan dan kesihatan pada petugas penghantar makanan.
“Saya berharap program seperti ini dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk turut sama berkongsi kebaikan dan membantu memberikan kesedaran tentang pentingnya penjagaan kesihatan.
“Sekali gus tanpa mengira apa juga bidang tugas dan kerjaya masing-masing,” katanya.
Selain itu, menurut pengasas formula Eskayvie, Dr Syid Ayob Syid Mustafa AlQudri, selain sumbangan berbentuk duit raya dan juadah raya dalam program berkenaan, pihaknya turut menyediakan Eskayvie Afeeya Cafe untuk bekalan tenaga para petugas.
“Eskayvie Afeeya Cafe adalah sebagai ikhtiar untuk membantu mereka lebih bertenaga dan kekal fokus terutamanya ketika berada di jalanan,” katanya.
Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perubatan dan formulasi produk telah membantu usaha Dr Syid Ayob dalam menghasilkan produk berkualiti yang sesuai dengan keperluan pengguna.
“Adalah diharapkan agar program dengan kerjasama Yayasan Eskayvie seperti ini dapat memberikan semangat kepada mereka yang sedang berjuang di dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar masa kini.
“Semoga program sebegini dapat memberikan manfaat yang besar kepada ‘rider’ dan masyarakat yang memerlukan”ujarnya.