KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memberi masa enam bulan kepada puluhan peniaga warga asing yang berniaga di Pasar Besar Klang, di sini untuk berhenti berniaga di pasar berkenaan.
Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, keputusan ini dibuat setelah melihat jumlah warga asing yang menjadi tauke di pasar tersebut begitu ramai ketika ini.
“Apabila kita buat pemeriksaan, kebanyakan daripada warga asing ini mengaku mereka adalah pekerja dan mempunyai majikan. Tetapi, saya was-was dengan pengakuan tersebut kerana (pemeriksaan secara tertutup oleh anggota MPK) melihat ada gerai yang tidak ada warga tempatan yang menguruskannya,” katanya semasa membuat pemeriksaan di sini, hari ini.
Pemeriksaan tersebut turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin Selangor yang juga ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan MPK tidak mempunyai masalah untuk warga asing bekerja di pasar tersebut selepas mengambil kira isu kekurangan tenaga pekerja yang dihadapi oleh peniaga di sana.
Bagaimanapun, Noraini melahirkan rasa kesal terhadap ada peniaga yang mengambil kesempatan daripada kebenaran yang diberikan MPK, untuk ‘mengalibabakan’ perniagaan mereka.
“Jadi saya beri masa kepada peniaga yang buat kegiatan ini supaya hentikan segera sebelum kita ambil tegas terhadap mereka. Gunakan peluang yang ada di sini untuk menjalankan perniagaan sendiri. Kalau nak gajikan warga asing, MPK tiada masalah,” tegasnya. – UTUSAN