KUALA LUMPUR: Penyanyi, Elizabeth Tan, 29, tampil dengan lagu istimewa sempena Hari Raya Aidilfitri selepas lapan tahun bergelar penyanyi.
Lagu berjudul Raya Cun itu hasilkan sepenuhnya komposer dan penulis lirik Diandra Arjunaidy, Mage dan Efry Arwis.
Kata Elizabeth atau mesra disapa Lizy, lagu tersebut diyakini dapat memeriahkan suasana Hari Raya menerusi bait lirik dan susunan lagunya yang disifatkan mesra pendengar.
“Lagu ini ringkas. Ia tentang suasana kecoh di pagi Hari Raya.
“Vibe lagu ini adalah rasa gembira selain elemen Hari Raya seperti baju dan duit raya yang terkandung di dalamnya,” katanya.
Menurut Lizy, lagu tersebut bukan sahaja sesuai dengan karakter vokalnya malah seronok dinyanyikan.
“Cuma, ada cabaran ketika rakam lagu ini. Prosesnya tergesa-gesa sebab kesuntukan masa.
“Bayangkan saya hanya ada satu bulan untuk rakam dan hasilkan muzik video lagu ini.
“Tapi saya kagum dengan kecekapan kru produksi yang berjaya menyiapkan lagu ini dalam masa yang ditetapkan,” kongsinya.
Dalam masa yang sama, Lizy juga menganggap lagu tersebut sentimental buat dirinya yang mula dikenali pendengar selepas menyanyikan semula lagu raya lama.
“Saya anggap lagu ini sangat istimewa. Ia mengingatkan saya kepada momen awal saya dirisik Faizal Tahir selepas komposer tersebut menonton video nyanyian lagu Raya saya.
“Saya gembira kerana akhirnya saya nyanyikan lagu raya saya sendiri,” jelasnya.