Elak tragedi, jangan mandi di Pantai Batu 1 Port Dickson

Elak tragedi, jangan mandi di Pantai Batu 1 Port Dickson

PAPAN tanda larangan dipasang di kawasan Pantai Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai peringatan kepada orang ramai yang mengunjungi pantai tersebut. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Orang ramai yang mengunjungi Pantai Batu 1 di sini diingatkan tidak melakukan aktiviti mandi-manda di situ bagi mengelak kejadian lemas yang meragut nyawa tiga beradik, baru-baru ini berulang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mohd. Esa berkata, sebagai peringatan kepada orang ramai mengenai bahaya tersebut, papan tanda amaran telah dipasang di kawasan itu.

Katanya, keadaan pantai di situ bukanlah landai justeru sememangnya tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda.

“Secara umum semua pantai di daerah ini boleh dijalankan aktiviti mandi-manda, cuma di Pantai Batu 1 itu menjadi tempat larangan mandi malah di situ juga telah dipasang papan tanda amaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.57 petang pada 23 April lalu, tiga beradik perempuan, R. Kalaivani, 30; R. Dawige, 29, dan R. Sathiyadevi, 19, dari Banting, Selangor meninggal dunia selepas lemas di Pantai Cahaya atau lebih dikenali sebagai Pantai Batu 1 yang terletak berhampiran Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di sini.

ORANG ramai yang mengunjungi Pantai Batu 1, Port Dickson dilihat hanya bersantai di kawasan berbatu di tepi pantai dan mematuhi amaran dengan tidak melakukan aktiviti mandi laut di situ ketika tinjauan Utusan Malaysia semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Abdul Khair Osman berkata, bagi mengelak kejadian sama tidak berulang, pihaknya bersama MPPD akan meletakkan tambahan papan tanda bahaya di kawasan berkenaan.

“Itu sebagai persediaan kami termasuk meneruskan kempen-kempen di bawah program Majlis Keselamatan di Air. Pasukan Penyelamat di Air JBPM Negeri Sembilan juga sentiasa bersedia dan sememangnya telah ditempatkan di Balai Bomba Telok Kemang.

“Cuma nasihat saya juga kepada orang ramai untuk tidak mandi di kawasan larangan mandi dan berisiko tinggi. Patuhi tanda amaran dan tidak mandi semasa cuaca tidak baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya