KUALA LUMPUR: Pelakon berpengalaman, Edika Yusof, 55, meluahkan rasa sedih terhadap nasib sebilangan besar pelakon-pelakon lama yang dipandang sebelah mata dan tidak menerima layanan sewajarnya.
Kata Edika, keadaan tersebut mencerminkan standard indutsri seni tempatan yang masih terkebelakang berbanding industri seni antarabangsa, seperti Hollywood dan Bollywood yang mana penggiat veterannya cukup dihargai dan semakin disanjungi.
“Hakikatnya, pelakon lama kita semakin kurang ditawarkan peluang berlakon. Lain pula keadaannya seperti di Bollywood misalnya, pelakon lama mereka semakin rancak bekerja.
“Kenapa keadaan itu tidak berlaku di negara kita? Bentuk layanan industri tempatan terhadap orang-orang lama masih keterbelakangan.
“Keadaan ini membuatkan saya berfikir panjang sebelum membenarkan anak-anak saya menjadi pelakon walaupun mereka berminat. Masa depan pelakon di Malaysia masih tidak terjamin,” katanya.
Pada masa yang sama, Edika turut menyuarakan pandangannya tentang ekosistem industri seni dan hiburan tempatan yang memerlukan pemulihan dan penambah baikan.
“Industri seni dan hiburan kita belum sampai ke tahap selesa. Berdasarkan pengalaman, saya melihat ia masih sama, sejak saya mula berlakon pada penghujung era 80-an sehingga sekarang.
“Kualiti drama dan filem kita bertambah baik, tetapi ekosistem masih keterbelakangan,” ujarnya.