SHAH ALAM: Tindakan seorang duda memukul dua anaknya sehingga cedera mengundang padah apabila dipenjara selama 10 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohd. Najid Jamal, 41, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, duda kepada lima orang anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada dua anak perempuannya sendiri berusia 13 dan 15 tahun dalam rumah mereka di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh kira-kira pukul 10 pagi pada 4 Januari lalu.
Justeru, pengawal keselamatan itu dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa penjara sehingga setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu peguam Mohd. Safwan Saleh mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan apabila memaklumkan anak guamnnya merupakan duda dengan lima orang anaknya tinggal bersama.
“Pendapatannya hanya RM1,200 bagi menyara kehidupan mereka dan mohon pemenjaraan paling minimum dari tarikh ditangkap dan berjalan serentak,” ujarnya.
Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur Baghwant Singh menegaskan sebagai seorang bapa tidak sepatutnya memperlakukan anak-anak sedemikian rupa.
“Ini boleh atau berkemungkinan menyebabkan gangguan emosi melampau kepada mangsa dan memohon hukuman setimpal,” tegasnya. – UTUSAN