SABAK BERNAM: Polis memburu dua suspek yang terlibat kes samun sebuah kedai telefon bimbit di Sungai Besar di sini, dan mencederakan pekerja premis itu, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu melibatkan suspek bermotosikal termasuk yang berpura-pura mahu membeli telefon, namun cuba melarikannya.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi satu video tular di media sosial memaparkan tiga lelaki bergelut di hadapan kedai tersebut semalam.
Katanya, semakan lanjut mengesahkan satu laporan polis berkaitan kes samun dibuat seorang wanita yang juga penyelia premis berkenaan.
“Siasatan mendapati seorang pekerja wanita dan lelaki yang berada di kedai itu didatangi seorang suspek yang kononnya mahu membeli telefon jenis Iphone 14. Namun, suspek lelaki itu menyerang salah satu pekerja dan merampas telefon di atas meja kaunter jualan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jelas Agus Salim, pekerja itu kemudian mengejar suspek hingga ke luar premis dan berlaku pergelutan yang turut membabitkan seorang lagi pekerjanya.
“Ekoran pergelutan itu, kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki dua motosikal manakala pekerja tersebut mengalami kecederaan dan telefon yang dirampas tercicir di lokasi kejadian,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya membuka kertas siasatan dan sedang mempergiatkan usaha memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sabak Bernam, Asisten Superintendan Khairul Azmani Mohd. Zain di talian 03-32242222,” katanya. – UTUSAN