Dua bot nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan negara - Utusan Malaysia

Dua bot nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan negara

SALAH sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan ketika menangkap ikan di perairan negara dekat Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Maritim Malaysia Terengganu berjaya menahan dua buah bot nelayan Vietnam yang sedang leka menangkap ikan di perairan negara, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten (M) Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, kedua-dua buah bot itu ditahan pada jarak 133 dan 134 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu.

Menurut beliau, hasil rampasan dua bot dan peralatan menangkap ikan termasuk diesel itu dianggarkan bernilai RM3 juta selain turut menahan ditahan 17 kru dan tekong warga Vietnam.

“Kedua-dua buah bot itu dikesan sedang menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan ketika pihak kami menjalankan Op Naga Barat dan Kuda Laut.

“Ketika dihampiri, mereka bertindak melarikan diri dengan keluar dari perairan negara namun tindakan pantas kapal Maritim memintas bot tersebut berjaya mematahkan usaha itu.

“Pemeriksaan mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen lesen yang sah manakala kru berusia 19 sehingga 59 tahun turut ditahan,” ujarnya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki permit menangkap hasil laut serta Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, semua kru termasuk tekong telah dibawa ke Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia Terengganu tidak akan berkompromi dalam melaksanakan tindakan tegas bagi mengekang cubaan nelayan asing menceroboh perairan negara.

“Orang ramai terutama komuniti maritim diminta melaporkan aktiviti melanggar undang-undang dan memaklumkan sebarang kecemasan di perairan negara kepada kami,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya