GERIK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar diesel bersubsidi ke negara jiran dengan tertangkapnya dua beranak warga Thailand semalam.
Kedua-dua lelaki berusia 58 dan 24 tahun itu diberkas ketika pemeriksaan di pos kawalan pintu masuk sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu pada pukul 9.15 malam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tangkapan terhadap dua beranak itu adalah hasil pemantauan dan risikan dijalankan di sekitar stesen minyak di Pengkalan Hulu.
Katanya, berdasarkan pemantauan, dua beranak menaiki kenderaan pacuan empat roda itu akan membeli minyak diesel dengan had kuantiti 20 liter bagi sekali pembelian sebelum membuat pembelian seterusnya di stesen minyak lain.
“Selepas membuat pembelian bahan bakar tersebut, kenderaan itu akan masuk semula ke Thailand. Mereka bagaimanapun ditahan ketika melalui pemeriksaan di pos kawalan pintu masuk sempadan ICQS.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebanyak 70 liter minyak diesel berada di dalam tangki kenderaan tesebut,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan melalui KPDN telah menguatkuasakan larangan penjualan petrol dan diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan asing di stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer dari pintu sempadan negara.
Sehubungan itu katanya, kenderaan dan minyak diesel tersebut telah disita dan kedua-dua warga Thailand tersebut ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM50,150.50. Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Tambah beliau, KPDN sama sekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyalahgunaan barang-barang kawalan.
Justeru itu katanya, masyarakat dan pengguna disaran menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk memberi maklumat terutama berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti ini ke mana-mana cawangan KPDN untuk membanteras aktiviti penyelewengan sekali gus mengelakkan berlakunya ketirisan subsidi kerajaan,” katanya. – UTUSAN