Dr. Khalid dilantik Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan Masa

Dr. Khalid dilantik Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan Masa

KHALID ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Masa Depan Malaysia (Masa) mengumumkan pelantikan Dr. Khalid Abdul Hamid sebagai Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan badan itu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Masa, Azril Mohd. Amin mengalu-alukan pelantikan Khalid, 61, dan berharap kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang penyelidikan dapat membantu membawa badan pemikir bebas itu ke satu tahap lebih tinggi sebagai institut pemikir berwibawa berlandaskan nilai-nilai kemakmuran bersama.

Katanya, Khalid yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam penyelidikan pelbagai bidang khususnya ekonomi dan sosial merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Gunaan Universiti Malaya (UM), Ijazah Sarjana Ekonomi Pembangunan Universiti Vanderbilt Amerika Syarikat dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Sebagai mantan Pengarah Bahagian Industri Perkhidmatan di Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (JPM), beliau bertanggungjawab mengetuai penyediaan kertas-kertas dasar, laporan dan dokumen berkaitan ekonomi, kewangan serta sosial termasuk input untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

“Semasa di Kementerian Kewangan, beliau mengetuai pasukan yang ditugaskan menyediakan Laporan Ekonomi serta Belanjawan 2015 dan 2016. Jawatan terakhir beliau adalah mengetuai Unit Penyelidikan Strategik Majlis Pemulihan Negara (MPN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Khalid juga sering dijemput membentangkan hasil kajiannya di dalam dan luar negara, antaranya, kajian tentang Pasaran Tenaga Bersepadu di Asia Tenggara yang dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Brunei dan Jakarta pada 2011. 

“Kertas penyelidikan beliau mengenai kesan kenaikan kadar tenaga terhadap industri makanan turut mendapat perhatian Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN (AMM) pada 2012, malah diterbitkan jurnal terkemuka ERIA,” kata Azril. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya