IPOH: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan mengakui kecewa dengan persembahan pasukan itu ketika menentang Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak di sini kelmarin.
Menurutnya, pasukannya sepatutnya mengutip mata penuh kerana mencipta banyak peluang untuk jaringan gol namun perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1.
“Hanya satu gol sahaja dapat dijaringkan.
“Jika dapat menyempurna salah satu daripada peluang itu, sudah tentu kami berjaya (mengutip mata penuh,” katanya.
Menurut Devan, pemain NSFC juga tidak mempamerkan permainan biasa mereka terutama selepas gol awal tuan rumah.
“Jaringan awal itu mengejutkan pemain saya dan menyebabkan kami hilang rentak tetapi mujur mereka berjaya bangkit pada separuh kedua,”katanya.
Pada perlawanan kelmarin, Mohd Sharel Fikri Md Fauzi yang menyelamatkan Pasukan Hobin Jang Hobin yang ketinggalan sejak minit ketiga perlawanan, memiliki tiga peluang terbuka tetapi gagal menyempurna peluang yang menyusul selepas jaringan di minit ke-69 itu.
Begitupun Devan tidak menyalahkan penyerangnya itu kerana menyedari ia perkara biasa dalam bola sepak.
Sebaliknya, Sharel katanya, telah menunjukkan pemain semakin menemui sentuhan sekembali dari kecederaan.
“Saya gembira untuknya. Dia menunjukkan ketangkasan dan kelincahannya dengan mengatasi penjaga gol lawan dalam situasi satu sama satu,” katanya. – UTUSAN