ALOR SETAR: Kerajaan Perpaduan berjanji gangguan bekalan air yang dialami rakyat Kedah akan diselesaikan seandainya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau merasai keperitan penduduk negeri itu di beberapa kawasan yang menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa setitis air di rumah mereka, baru-baru ini.
“Kita tahu masalah air tak selesai. Kita tak mahu (warna air) teh susu di Kelantan dah jadi kopi susu. Kita tak mahu Kedah pun jadi kopi susu. Berapa banyak (kawasan) di Kedah waktu raya ini tak cukup air.
“Insha-Allah kalau kerajaan Kedah ini (ditadbir) Kerajaan Perpaduan, masalah air Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan selesaikan.
“Sebab Perdana Menteri juga Menteri Kewangan, kalau beliau lupa saya sendiri akan ingatkan untuk tolong rakyat Kedah,” katanya ketika berucap pada Himpunan Madani Kedah 2023 di Dataran Stargate, di sini.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga negeri, Munir @ Mohamad Yusoff Zakaria memaklumkan, kira-kira 8,000 akaun yang melibatkan 40,000 orang terjejas bekalan air pada musim perayaan.
Katanya, isu gangguan bekalan air yang berlaku disebabkan operasi penggantian paip lama selain projek menaik taraf lima loji rawatan air (LRA) yang sedang disiapkan bagi manfaat rakyat Kedah pada masa akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, masalah perumahan dan isu perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi juga antara yang akan diberi perhatian oleh Kerajaan Perpaduan.
“Semalam (kelmarin) di Baling saya tengok rumah untuk mangsa banjir (Kampung Iboi), apabila Kerajaan Persekutuan bina rumah baharu untuk mangsa, depa (kerajaan negeri) nak buat juga. Yang kita buat siap, depa dak lagi.
“Kita tengok di Langkawi pula satu hari berapa (trip) feri (tinggal) sebab lumpur tak boleh korek. Insha-Allah siapa pun Menteri Besar Kedah yang baharu nanti, masalah feri Langkawi yang dulu 15 kali (trip) sehari kita akan korek lumpur dan kembalikan (trip sebanyak itu),” katanya.
Kata beliau, Kerajaan Perpaduan berhasrat untuk memberikan kestabilan politik agar dapat membangunkan ekonomi Kedah selain mempertingkat pembangunan di negeri itu berbanding yang sedia ada.
Namun, ujar Ahmad Zahid usaha itu tidak akan menjadi kenyataan sekiranya Kerajaan Negeri Kedah tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya yang sebaliknya hanya menyebabkan negeri itu akan terus mundur.
“Bagi menjawab (elak) keadaan itu, wajib undi di Kedah diberi kepada PH-BN untuk ganti kerajaan sekarang demi kepentingan rakyat secara keseluruhan. Kalau Menteri Besar yang sama juga ‘kelaut’ ,” katanya. –UTUSAN