KANGAR: Sejak sembilan bulan lalu, seorang penoreh, Shahrul Anuar Megat Abu,35 dan keluarganya hanya berteduh di sebuah dangau di kebun getah, Kampung Padang Telela di sini ekoran tidak mampu menyewa rumah.
Sejak tempoh itu, pondok kecil itulah yang menjadi tempat mereka sekeluarga berteduh daripada hujan mahu pun panas terik.
Keluarga tersebut dikatakan tiada pilihan lain memandangkan Shahrul hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak menentu iaitu sekitar RM20 sehari.
Penderitaan keluarga itu bagaimanapun berjaya dikesan UMNO Bahagian Arau yang tampil membantu menyediakan sebuah rumah sewa lebih selesa kepada keluarga itu menjelang beberapa hari sebelum Aidilfitri ini.
Perkembangan itu sekali gus memberi sinar baharu buat keluarga berkenaan tambahan pula isteri Shahrul, Nur Sapinah Mansor, 36, baharu sahaja melahirkan anak ketiga mereka pada Ahad lepas.
Shahrul berkata, sebelum ini, dia bersama isteri dan dua anak berumur sembilan serta tiga tahun terpaksa menetap di pondok itu selepas mereka berpindah dari Bukit Kachi, Sintok dan pulang ke Kampung Padang Telela, di sini, berikutan ayahnya mengalami sakit tua.
“Namun begitu, kami tidak dapat tinggal di rumah ayah ketika itu kerana keadaan kediaman yang sempit dan turut dihuni ramai ahli keluarga lain,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Rozieana Ahmad di rumah sewa baharu tersebut di Kampung Sena, Guar Sanji di sini, semalam.
Tambah Shahrul, sewaktu menetap di pondok kecil itu, dia juga perlu berulang alik mengambil bekalan air di rumah ayahnya untuk kegunaan harian.
“Saya memang tidak mampu menyewa rumah lain dan disebabkan itu kami menjadikan pondok itu sebagai tempat berlindung demi keselesaan anak-anak,” katanya.
Tambah Shahrul, dia juga pernah menerima bantuan berkala daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama sumbangan wang tunai secara one-off sebanyak RM700 buat isterinya menjalani pembedahan bengkak susu sebelum ini.
“Alhamdulillah, kami juga sangat bersyukur dengan usaha UMNO Bahagian Arau membantu kami sekeluarga menyediakan rumah ini menjelang Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Rozieana berkata, skuad kebajikan UMNO Bahagian itu akan terus memantau Shahrul bersama isteri dan anak-anaknya selepas ini bagi memastikan mereka mendapat kehidupan lebih selesa.
“Maklumat mengenai nasib keluarga itu dilaporkan oleh amil kawasan berkenaan dan usaha membantu itu diteruskan UMNO Bahagian Arau, bagi mencari kediaman baharu buat mereka. UMNO sememangnya amat peka dengan tuntutan keadaan rakyat dan kita mahukan agar nasib lebih ramai insan sebegini dapat dibantu pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN