Dadah: Jason Lo kekal lepas bebas

Dadah: Jason Lo kekal lepas bebas

Jason Lo (kiri) menangis di luar Mahkamah Tinggi. Kuala Lumpur selepas mendengar keputusan hakim mengekal keputusan melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan memasukkan dadah dalam badannya, empat tahun lalu. -UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan yang melepas dan membebaskan penyanyi, Jason Jonathan Lo atau dikenali sebagai Jason Lo daripada pertuduhan memasukkan dadah dalam badannya, empat tahun lalu. 

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret ditolak. 

“Rayuan pihak pendakwaan diketepikan dan keputusan Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan responden adalah dikekalkan,” katanya.

Jason Lo, 48, ketika ditemui selepas tamat prosiding meluahkan rasa gembiranya serta berterima kasih kepada pasukan peguam bela yang bekerja keras untuk memastikan keadilan buat dirinya. 

“Saya sangat bersyukur dan menghargai jasa-jasa peguam bela yang telah membantu saya dalam kes ini. Saya sentiasa percaya dengan sistem kehakiman negara ini,” katanya sambil menangis. 

Peguam yang mewakili Jason Lo, Datuk Hariharan Tara Singh turut mengucapkan rasa syukur atas keputusan itu. 

“Saya bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini dan saya berharap kes ini adalah setakat ini sahaja. Bagaimanapun ia terletak pada pihak pendakwaan untuk merayu atau tidak,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Mohd Fadli Nik Azlan  berkata beliau akan mendapatkan arahan sama ada akan membuat rayuan ataupun tidak. 

“Berhubung rayuan, saya akan dapatkan arahan. Setakat ini tiada kepastian,” katanya ringkas. 

Pada 24 Jun 2022, Jason Lo yang juga ahli perniagaan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badannya.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Jason Lo didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya tanpa kebenaran sah di sisi undang-undang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tandas pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers, Brickfields pada 5.15 petang, 15 November 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya