ALOR GAJAH: Kerajaan negeri akan mengumumkan hari perisytiharan kemerdekaan negara sebagai cuti umum negeri berkuatkuasa tahun depan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, tarikh sebenar cuti umum itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas kajian dan rujukan lanjut dilakukan bersama Arkib Negara.
Jelas beliau, cuti umum sedia ada tidak akan ditambah atau dikurangkan sebaliknya cuti sedia ada akan dipinda untuk memberi laluan kepada cuti peristiwa berkenaan.
“Kita akan umumkan cuti mana yang akan diambil dan akan berkuatkuasa bermula tahun depan. Hari bersejarah itu akan diisi dengan pelbagai pengisian sejarah.
“Usaha ini penting bagi generasi akan datang dapat menikmati dan menghayati kemerdekaan di samping melihat bagaimana Melaka menjadi lokasi bersejarah di bumi Malaysia ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Melaka di Pasar Ramadan Masjid Tanah di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, cuti yang dinamakan Hari Perisytiharan Kemerdekaan Malaysia itu memetik sejarah awal kemerdekaan pada 20 Februari 1956.
Katanya, rakyat mengetahui berita kemerdekaan pada hari tersebut selepas Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengumumkan telah menerima kelulusan daripada British.
“Bumi pertama melaungkan kemerdekaan adalah di Banda Hilir kerana di situlah bendera Union Jack diturunkan. Tarikh rasmi adalah pada 31 Ogos 1957 tetapi tarikh perisytiharannya di Melaka.
“Jadi kerajaan negeri mengambil langkah supaya hari perisytiharan adalah hari paling bersejarah di Malaysia yang bermula di Melaka,” ujarnya. – UTUSAN