GEORGE TOWN: Tempahan bilik hotel di negeri ini ketika musim cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini berkurangan berbanding dengan musim cuti-cuti yang lain.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, jumlah tempahan bilik di hotel-hotel hanya mencecah sekitar 50 hingga 60 peratus ketika ini.
”Tempahan hotel sepanjang cuti musim perayaan Hari Raya Aidilfitri agak perlahan tahun ini, mungkin kerana kekangan kewangan menyebabkan ramai yang berjimat cermat.
”Kadar tempahan hotel di sekitar pusat bandar hanya mencapai 50 peratus manakala hotel di sekitar kawasan pantai pula sekitar 60 peratus sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Tony, keadaan ketika cuti Hari Raya Aidilfitri tidak sama seperti cuti-cuti perayaan lain kerana kebanyakan mereka yang pulang ke kampung memilih menginap bersama keluarga masing-masing.
”Memang ramai yang pulang ke kampung untuk menyambut hari raya, namun mereka tidak tinggal di hotel-hotel.
”Selalunya setiap kali musim perayaan memang tempahan di hotel akan berkurangan dan akan meningkat semula sekiranya ada cuti umum yang lain,” katanya.
Tambahnya, tempahan hotel dijangka meningkat semula hujung minggu ini dan minggu depan iaitu pada cuti hari pekerja (1 Mei) dan cuti hari Wesak (4 Mei).
”Ada hotel di kawasan pantai yang sudah menerima tempahan pada cuti hari pekerja dan hari Wesak memandangkan cuti umum yang panjang pada minggu itu.
”Pihak hotel di negeri ini sentiasa bersiap sedia menerima kedatangan pelancong sama ada pelancong domestik atau antarabangsa pada musim cuti berkenaan,” katanya. – UTUSAN