IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak bersetuju dengan tindakan mogok oleh kumpulan doktor kontrak kerana membantah sistem tidak adil dan gaji rendah.
Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, ini kerana tindakan itu boleh menjejaskan sistem penyampaian kesihatan kerajaan kepada rakyat.
Menurutnya, kumpulan doktor itu juga tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk mengambil tindakan perusahaan seperti mogok dan sebagainya, kerana mereka tidak berkesatuan.
“Apabila mereka tidak ada locus standi, ini menyebabkan mereka boleh diambil tindakan di bawah perhimpunan yang tidak dibenarkan ataupun di dalam peraturan perkhidmatan awam itu sendiri.
“Cuepacs berpendirian kami bersolidariti dalam isu ini tetapi dalam masa yang sama kami menasihatkan pihak-pihak yang berada dalam kumpulan yang ingin meneruskan tindakan ini, mogok ini boleh menjejaskan sistem penyampaian kesihatan kerajaan kepada rakyat, jadi Cuepacs tidak bersetuju,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada program Ihya Ramadan gotong royong memasak dan edaran bubur lambuk Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Kerani Dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) negeri Perak di sini hari ini.
Adnan berkata, tindakan mogok itu memberi kesan kepada peluang doktor kontrak untuk menyertai perkhidmatan awam jika kerajaan mengambil tindakan terhadap mogok yang dilakukan.
Menurutnya, mereka tidak dilindungi di bawah Akta Kesatuan Sekerja dan boleh dibuang daripada bertaraf kontrak terus kepada tidak bekerja.
“Jadi peluang mereka untuk bersama dalam perkhidmatan tidak ada selepas itu jika kerajaan mengambil tindakan di atas mereka.
“Bagi Cuepacs, ya kami bersolidariti dengan mereka tetapi kami tidak bersetuju dengan tindakan ini kerana banyak ruang telah dan sedang dibuka untuk mengatasi isu ini,” katanya.
Menurutnya, pihaknya mahu kerajaan melihat isu doktor kontrak secara adil kepada semua skim perkhidmatan yang lain juga.
Beliau berkata, badan profesional juga boleh menggembleng tenaga untuk mengatasi masalah itu dengan merancang bagaimana pasaran pekerjaan itu mampu diwujudkan.
“Salah satunya ialah dengan tidak hanya fokus kepada perkhidmatan kerajaan tetapi bekerja di perkhidmatan swasta, tidak menumpu kepada perkhidmatan kerajaan yang semakin mengecil.
“Pasaran doktor sebenarnya luas, mereka ini sangat laku dan boleh bekerja di mana-mana tetapi kenapa masih lagi menumpu kepada perkhidmatan kerajaan?,” katanya. – UTUSAN