PUTRAJAYA: Berdepan cuaca sejuk sekitar -10 darjah Celcius pada paras 5,365 meter dari aras laut tidak menghalang pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) untuk menggayakan busana lengkap baju Melayu.
Itu semangat ditonjolkan tiga daripada lima pendaki ME2023 bagi meraikan 1 Syawal di Everest Base Camp (EBC), esok melalui perkongsian sekeping gambar buat tatapan ahli keluarga dan rakyat Malaysia yang bakal menyambut Aidilfitri esok.
Lima pendaki negara diketuai Azim Afif Ishak,35, Muhammad Hawari Hashim, 33, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, Tiong Ling Yang, 30 dan Ayu Wanirah Naharuddin, 30, selamat tiba di EBC semalam.
Azim berkata, dia akui tidak dapat menahan sebak apabila terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga pada Aidilfitri kali ini lebih-lebih lagi apabila mengenangkan dua anaknya yang masih kecil.
Katanya, apa yang pasti tiada ketupat, lemang dan rendang untuk dijamah esok kerana yang ada hanyalah biskut kering dan makanan lain bagi menyambut Syawal.
“Kami tiba di EBC semalam selepas memulakan penyesuaian diri sejak 7 April lalu dengan aktiviti ‘trekking’ sebelum tiba di EBC untuk menyambut Aidilfitri.
“Aktiviti trekking itu mengambil masa selama 14 hari sejauh 77.48 kilometer (km) bermula di Namche Bazar sebelum melalui beberapa kawasan seperti Dhole, Machharmo, Gokyo, Thangnak, Dzongla, Dingboche dan Lobuche.
“Alhamdulillah, kami semua berada dalam keadaan selamat dan sihat, malah kami tidak sabar untuk menawan Everest yang dijangka bermula awal Mei ini,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Awang Askandar berkata, dia juga turut berasa sedih kerana buat tahun kedua tidak dapat beraya bersama keluarga, namun perasaan itu terpaksa dilupakan demi menggapai impian tertangguh menakluk Everest.
“Kita akan sediakan makanan seadanya untuk hidangan di pagi Aidilfitri dan esok dijangka salji akan mula turun di EBC menjadikan suasana di sini semakin sejuk,” katanya.
Pendaki ME 2023 bertolak ke Nepal pada 2 April lalu dan dijangka memulakan misi yang tertangguh pada tahun lalu bermula awal Mei ini. – UTUSAN