Cuaca panas: Tangguh semua aktiviti luar bilik darjah

Cuaca panas: Tangguh semua aktiviti luar bilik darjah

PANTAUaktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua aktiviti luar bilik darjah perlu ditangguhkan jika cuaca terlalu panas sebagai langkah pencegahan menghadapi keadaan cuaca panas atau sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, itu antara tujuh langkah pencegahan yang perlu dilaksanakan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah KPM.

Jelasnya, cuaca panas yang melanda negara juga turut menyebabkan beberapa lokasi menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat.

KPM berkata, antara langkah pencegahan lain ialah memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

“Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan.

“Memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan di bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri,” katanya.

Menurut KPM, semua murid perlu digalakkan mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.

Katanya, murid-murid asrama harus dibekalkan air minuman sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.

“Sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.

“Semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, KPM mengingatkan institusi pendidikan perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing.

Ini termasuk mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan para murid atau pelajar dan warga institusi pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya