Cuaca panas jejaskan pendapatan penoreh getah

Cuaca panas jejaskan pendapatan penoreh getah

AZIZAH Shafien menunjukkan susu getah kurang disebabkan cuaca panas ketika tinjauan di Kampung Serongga Pasir Mas, Kelantan, semalam. - FOTO/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Cuaca panas yang melanda negeri ini menyebabkan susu getah berkurangan sehingga menjejaskan pendapatan penoreh getah.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hasil jualan getah beku merosot sehingga 50 peratus.

Seorang penoreh, Azizah Shafien, 57, berkata, musim panas menyebabkan daun pokok getah gugur dan susu getah kurang tetapi dia perlu menoreh kerana itu adalah pendapatan utama keluarganya.

“Biasanya saya memperoleh 200 kilogram hasil torehan untuk dua minggu tetapi sejak kemarau ini hanya memperoleh 100 kilogram susu getah sahaja.

“Apabila dijual hanya dapat RM270 dan perlu dikongsi pula dengan tuan tanah kerana pawah,” katanya ditemui di Kampung Serongga, di sini semalam.

Menurutnya, dia keluar menoreh selepas subuh bersama suami, Mohd. Noh Derahman, 58, kerana perlu menoreh 700 batang pokok getah.

“Kalau menoreh awal pagi diharapkan susu getah keluar banyak tetapi hampa, susu kurang.

“Memang kami terkesan dengan cuaca panas ini, tiada pendapatan dan menyambut Aidilfitri ala kadar ikut kemampuan,” katanya.

Sementara itu, Maizatul Akna Mohd. Noh, 37, reda tiada pendapatan sejak Ramadan lagi disebabkan susu getah kurang.

Katanya, tahun ini hanya beberapa kali dapat keluar menoreh kerana faktor cuaca yang tidak menentu.

“Sebelum ini kampung kami dilanda banjir, habis kebun getah ditenggelami air banjir berminggu-minggu lamanya.

“Sekarang ini musim panas pula dan susu getah menjadi kurang, pendapatan kami terjejas,” katanya.

Menurutnya, dijangkakan bulan Ogos ini keadaan cuaca akan pulih namun berdepan dengan musim hujan pula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya