Cuaca panas; Bomba terima lebih banyak panggilan kebakaran - Utusan Malaysia

Cuaca panas; Bomba terima lebih banyak panggilan kebakaran

JBPM Pulau Pinang menerima peningkatan panggilan membabitkan kes kebakaran sebanyak 75.6 peratus susulan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mencatatkan peningkatan panggilan membabitkan kes kebakaran sebanyak 75.6 peratus susulan cuaca panas yang sedang melanda ketika ini.

Pengarah JBPM negeri, Saadon Mokhtar berkata, sehingga 12 April lalu, jumlah panggilan kebakaran diterima oleh JBPM Pulau Pinang adalah sebanyak 72 kes berbanding 41 kes yang diterima tahun lalu.

“Musim panas yang berlaku ketika ini memberi kesan terhadap peningkatan jumlah panggilan kebakaran yang diterima oleh JBPM Pulau Pinang.

“Data yang amat mengejutkan juga menunjukkan seramai tiga mangsa telah terlibat di dalam kebakaran bangunan bagi bulan April ini sahaja berbanding tidak ada mangsa direkodkan bagi tahun lepas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap satu di enam kawasan di Semenanjung Malaysia susulan cuaca panas mencecah suhu maksimum harian 35-37 darjah Celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Setakat ini, terdapat tiga mangsa yang maut akibat kebakaran di Pulau Pinang di mana seorang kanak-kanak perempuan, G. Sri Laavanya maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Pisang, Air Itam, awal pagi Isnin lalu.

Dalam kejadian petang kelmarin pula, seorang wanita OKU, Nuraida Hashim, 43, turut maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Alma, Bukit Mertajam.

Seorang lagi mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti turut ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Jalan Jalan Seri Bahari, awal pagi semalam.

Menurut Saadon, bagi pecahan kepada jumlah kebakaran yang melibatkan struktur bangunan pula, JBPM negeri menerima sebanyak 13 kes berbanding sembilan kes tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 44.4 peratus.

Dalam pada itu, katanya, JBPM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan tahap keselamatan kebakaran berada dalam keadaan terbaik.

“Orang ramai perlu memastikan keselamatan kebakaran di rumah kediaman dan premis berada pada tahap yang baik lebih-lebih lagi ketika musim panas yang sedang melanda negara pada ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya