JOHOR BAHRU: Berkonsepkan cita rasa kampung, Restoran Selasih di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada) menyajikan 120 menu dalam Bufet Ramadan kali ini.
Sebut sahaja sate, kari ayam, sayur-sayuran termasuk cangkuk manis, ikan, kuah lodeh, kuah kacang serta lemang dan nasib himpit semuanya ada disajikan.
Ambil sahaja untuk penuhi selera anda jika menjamu selera ketika berbuka puasa di Restoran Selasih.
Bagi penggemar daging kambing, aroma kambing kuzi yang memenuhi ruang restoran pasti membuatkan ramai yang tidak sabar menikmati keenakannya.
Tidak hairanlah, Pengurus Besar Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, David Emir Bareng mengakui menu kambing kuzi menjadi tumpuan pelanggan sehingga sanggup beratur untuk mendapatkannya.
Malah, para pelanggan mengakui kambing kuzi Restoran Selasih memang menepati cita rasa mereka, apatah lagi pada bulan Ramadan ini.
Tidak lengkap hidangan cita rasa kampung tanpa mi yang begitu sinonim dengan Johor.
Restoran Selasih tidak menghampakan pelanggannya dengan menyediakan pelbagai jenis mi, termasuk mi bandung, laksa Johor dan mi rebus.
Selain beraneka kuih-muih tradisional seperti seri muka dan lapis, pelanggan juga disajikan dengan kek serta bubur lambuk dan bubur kacang sebagai pencuci mulut.
Tidak lengkap berbuka puasa di Restoran Selasih tanpa menikmati teh tariknya yang menjadi sebutan ramai sebagai antara yang sedap di Johor Bahru.
Jadi, apa tunggu lagi, Bufet Ramadan Restoran Selasih pasti memenuhi cita rasa anda.
Untuk tempahan, boleh hubungi Restoran Selasih menerusi talian 07-2198789. – UTUSAN