BAGAN SERAI: Ribut petang tadi menyebabkan beberapa buah rumah di beberapa buah kampung di sini rosak termasuk bumbungnya diterbangkan angin.
Setakat ini antara kampung yang dikenal pasti terlibat ialah Kampung Selinsing, Kampung Tebuk Haji Dollah, Kampung Parit 4, Kampung Parit 1, Kampung Parit 2, Kampung Simpang 4, Kampung Sungai Baru, Kampung Jalan Gula dan Kampung Dew.
Penduduk yang menjadi mangsa ribut berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.20 petang ketika ada di antara mereka yang sedang memasak juadah untuk berbuka puasa.
Seorang penduduk, Zainah Salleh, 49, berkata, kejadian menyebabkan bumbung rumahnya tercabut diterbangkan angin ketika dia sedang memasak juadah untuk berbuka puasa.
Katanya, ketika kejadian, angin bertiup kencang sehingga bahagian bumbung rumahnya bergegar.
“Bumbung rumah tercabut akibat diterbangkan ribut, ini menyebabkan saya berasa amat cemas.
“Anak-anak saya terus menarik tangan saya lalu kami sekeluarga berlari masuk berlindung di bahagian bawah rumah,” katanya kepada pemberita di Kampung Parit 2, Selinsing di sini hari ini.
Suaminya, Khamis Yaakop, 56, bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Sallehuddin Abdullah melawat penduduk yang menjadi mangsa ribut. – UTUSAN