Buku rosak, bumbung rumah diterbangkan ribut - Utusan Malaysia

Buku rosak, bumbung rumah diterbangkan ribut

TAJUDDIN Abdul Rahman (kiri) berbual dengan sebuah keluarga yang menjemur buku sekolah anak mereka yang basah terkena air hujan akibat kejadian ribut di Kampung Air Kuning di Pasir Salak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Dua beradik terpaksa menjemur semua buku sekolah mereka yang terendam dalam air akibat ribut yang melanda Kampung Air Kuning di sini sehingga menyebabkan bumbung rumah tercabut.

Dua beradik itu ialah pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdullah, Chenderong Balai, Sharifah Nur Rabiatul Adawiyah Syed Mohamed Zairi, 13, dan adiknya, Sharifah Nur Qurratu Ain, 11.

Sharifah Nur Rabiatul Ada­wiyah berkata, dalam kejadian ribut pada hari kedua hari raya Ahad lalu, semua bukunya basah akibat terendam dalam air ekoran hujan lebat.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan ahli keluarganya tiada di rumah kerana berhari raya di Ipoh.

“Sebaik sahaja mendapat tahu mengenai kejadian ribut di kampung, saya dan ibu bapa terus pulang dan saya mendapati buku sudah terendam dalam air hujan yang bertakung dekat bilik kerana atap rumah diterbangkan ribut.

“Buku teks, buku tulis, buku aktiviti dan sijil-sijil semuanya basah dan saya terpaksa menjemurnya sejak dua hari lalu tetapi belum kering. Saya tak pasti sama ada buku-buku ini boleh digunakan lagi atau tidak kerana keadaannya agak teruk, setiap helaiannya melekat dan saya terpaksa membukanya satu persatu untuk mengeringkannya.

“Saya juga bimbang kerana ada kerja sekolah yang belum sempat saya siapkan tetapi bukunya sudah basah. Kalau buku teks dan buku aktiviti mungkin saya boleh beli semula tetapi kalau sijil dan dokumen yang rosak, saya tak tahu nak buat macam mana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu ibu kepada pelajar tersebut, Maslina Yeop Mat Sibee berkata, kejadian ribut kali ini adalah yang terburuk pernah dialami penduduk di kampung itu.

Da terkejut apabila mendapat tahu beberapa keping atap zink rumahnya diterbangkan angin kencang.

“Sebelum ini memang pernah berlaku ribut tetapi tidak seteruk kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menziarahi mangsa dan menghulurkan sumbangan peribadi beliau.

Menurut Tajuddin, 11 buah rumah rosak dalam kejadian itu termasuk ada yang diterbangkan atapnya akibat ribut.

“Saya bukan lagi wakil rakyat, mana ada peruntukan. Jadi hanya beri sumbangan peribadi sedikit sebanyak. Ada yang RM500, ada yang RM300, tengok keadaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya