PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa isu kahwin paksa antara UMNO dan DAP adalah suatu teguran supaya hubungan antara kedua-dua parti tersebut dapat dieratkan sekali gus menghentikan serangan sesama sendiri.
Menafikan bahawa perkara tersebut adalah suatu tindakan mahu memecahbelahkan UMNO dengan DAP, Ismail Sabri berkata, kenyataannya itu adalah untuk memberi kesedaran supaya dua-dua parti berhenti bertelagah di khalayak ramai.
“Saya beri komen dengan harapan dapat memberi kesedaran kepada DAP dan UMNO supaya janganlah bergaduh di tengah ramai.
“Rumah tangga yang bahagia bergaduh di dalam bilik, suami isteri gaduh di dalam rumah… tertutup, orang pun tak nampak. Petua orang tua dulu, jangan bergaduh di laman rumah. Jiran, orang lalu lalang tengok.
“Jadi saya harap apabila menegur itu, mereka menerima dengan baik dan bekerjasama lebih rapat, jika ada masalah jangan serang sesama sendiri. Itu tujuan saya apabila sentuh perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program bersama 41 penghuni Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Keramat, Kuala Lumpur di sebuah kompleks beli belah di sini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bera itu berkata, tindakan beliau menegur kedua-dua parti tersebut disalah tafsir oleh banyak pihak sedangkan niat beliau adalah untuk kebaikkan bersama kedua-dua parti.
Menurutnya, teguran tersebut dibuatnya adalah berdasarkan pemerhatiannya di media apabila pemimpin kedua-dua pihak saling berbalas ‘serangan’ terutamanya membabitkan kes bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
“Sebab itu saya tegur, baru ini saya nampak pemimpin DAP komen perkara sensitif tentang UMNO misalnya dalam kes Datuk Seri Najib. Orang UMNO sangat sensitif dengan isu Datuk Seri Najib.
“Tapi semua orang sensitif sampai saya tak boleh buka mulut untuk tegur walaupun berniat baik. Ini dah dekat nak pilihan raya, macam mana rakyat tengok kamu bergasak sesama sendiri,” katanya.
Jelas beliau lagi, teguran tersebut bukanlah ditujukan kepada kerajaan sebaliknya kepada parti memandangkan yang mengeluarkan kenyataan sensitif tersebut bukanlah Ahli Parlimen.
“Kerajaan masih bersama, tetapi yang saya tegur adalah pemimpin parti. Saya juga bercakap sebagai seorang Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan.
Terdahulu, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa Ismail Sabri berkata, ‘perkahwinan paksa’ antara UMNO dan DAP tidak akan berjaya jika tiada rasa cinta antara kepimpinan tertinggi parti atau di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, keretakan kini mula dilihat dalam ‘perkahwinan paksa’ antara parti dalam kerajaan kerana mereka secara terbuka menyerang satu sama lain.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut menerima kritikan daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang berkata, kerjasama kedua-dua parti tersebut adalah kerjasama politik yang turut digalakkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Anthony Loke menegaskan beliau hairan mengapa bekas Perdana Menteri itu seolah-olah mahu lihat perpecahan dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan bekas Ismail Sabri tersebut sambil menyifatkan bahawa jalinan hubungan berkenaan boleh dianggap sebagai sebuah perkahwinan yang telah diaturkan ‘orang tua’. – UTUSAN