Bot nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara - Utusan Malaysia

Bot nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

SEBUAH bot nelayan Indonesia yang dikendalikan empat kru termasuk tekong warganegara itu ditahan Maritim Malaysia selepas didapati menceroboh perairan negara di perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebuah bot nelayan asing yang dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang semalam kerana menceroboh perairan negara.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia menahan bot nelayan tersebut di kedudukan 50 kilometer barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung, kira-kira pukul 10.13 pagi.

Ujarnya, pemeriksaan awal mendapati bot yang berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang Sumatera Utara, Indonesia itu dikendalikan empat kru termasuk tekong berumur antara 17 hingga 33 tahun.

”Ketika diperiksa kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

”Bot dan kru serta peralatan menangkap ikan disita dan ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

”Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia,” katanya.

Tambahnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian O4-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya