TELUK INTAN: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan mengagihkan sebanyak 1,400 bekas bubur lambuk sebagai juadah berbuka kepada orang ramai di sekitar Teluk Intan hari ini.
Ketua BBP Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong oleh anggota bersama Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) Teluk Intan itu mula diagihkan pada 4.30 petang.
Katanya, pengagihan itu dibuat di Bazar Ramadan Teluk Intan, Kampung Bahagia dan Kampung Selabak selain Petronas Jalan Changkat Jong dan Masjid Melayu Teluk Intan.
“Kami memasak tiga periuk bubur lambuk dengan menggunakan 25 kilogram (kg) beras. Kali ini jumlahnya agak banyak berbanding dua tahun lalu.
“Sebanyak 1,400 bekas bubur lambuk ini diedarkan di lima lokasi termasuk di tiga bazar Ramadan di mana pengagihannya selesai dalam tempoh sejam,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, program memasak dan mengagihkan bubur lambuk yang masuk tahun ketiga diadakan itu menerima sumbangan sebanyak RM2,000 daripada pejabat Parlimen Teluk Intan.
Katanya, selain edaran bubur lambuk, pihaknya turut mengedarkan risalah keselamatan kebakaran kepada orang ramai.
“Risalah untuk keselamatan kebakaran ini antaranya membabitkan tatacara penggunaan alat pemadam api, pengungsian bangunan dan keselamatan di sekolah,” katanya. – UTUSAN