BN-PH terjemah keserasian melalui PRN - Utusan Malaysia

BN-PH terjemah keserasian melalui PRN

REEZAL MERICAN Naina Merican menyampaikan sumbangan pada majlis penyerahan bantuan barangan keperluan dan sumbangan duit raya kepada warga emas, anak yatim dan asnaf di SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Keserasian antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bakal diterjemahkan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan janji kepada pengundi dapat ditunaikan.

Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, PRN kali ini bukan hanya tertumpu kepada UMNO dan BN semata-mata, tetapi keserasian antara rakan komponen baharu turut memainkan peranan utama.

“Kalau kita berada dalam keadaan tidak serasi, keadaan tempang, mana mungkin kita dapat bagi jaminan untuk membela rakyat?

“Di pihak kita, persediaan sudahpun dibuat dan saya sendiri telah berjumpa dengan keenam-enam Badan Perhubungan UMNO negeri baru-baru ini.

“Apa yang boleh saya simpulkan hasil perbincangan yang berlangsung, persiapan kita sudah mencapai 80 peratus setakat ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan barangan keperluan dan sumbangan duit raya kepada 450 warga emas, anak yatim dan asnaf di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini hari ini.

Enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sepakat bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Ketika diminta mengulas berhubung dakwaan penganalisis politik yang berpendapat masih tidak nampak usaha UMNO meraih sokongan orang Melayu, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kepala Batas berkata, gerak kerja masih diteruskan biarpun banyak telahan dibuat pihak luar.

“Saya tak nak kita terlalu tenggelam dengan pandangan-pandangan dan analisa yang mungkin saja ada ketepatan, tapi mungkin juga bacaan dia (penganalisis) bergantung kepada situasi tersebut.

“Sebagai contoh, tengoklah di Kepala Batas, saya kalah tetapi masih ramai yang datang dan memberi sambutan.

“Satu analisa itu tidak semestinya memberi gambaran secara keseluruhan kerana ‘situational analysis’ ini sangat dinamik dan boleh berubah bila-bila masa,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan UMNO bakal berdepan masalah cukup besar khususnya dalam menghadapi PRN jika masih gagal menarik sokongan Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya