ARAU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih berpeluang merampas Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi memandangkan momentum sokongan rakyat terhadap parti itu semakin beransur pulih.
Malah, dengan kepemimpinan baharu UMNO Kedah diketuai Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mempunyai pengalaman luas sebagai bekas Menteri Besar dan menteri pusat dilihat mampu mengembalikan keyakinan rakyat.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, ke arah menuju PRN, kepemimpinan seluruh peringkat perlu bersatu dan perlu bekerja lebih keras mendekati rakyat seterusnya mengembalikan sokongan kepada UMNO.
Katanya, jika dilihat, momentum sokongan terhadap UMNO di Kedah sudah semakin baik.
Selain itu, katanya, calon-calon yang bakal diketengahkan oleh BN juga perlu mempunyai pengaruh atau latar pendidikan yang baik selain mampu memikat hati rakyat.
“Calon-calon yang bakal ditampilkan perlulah mempunyai pengaruh, pengalaman, pendidikan dan kebolehan di dalam menarik akar umbi atau masyarakat untuk menyokong UMNO khususnya dalam kalangan anak muda.
“Selain itu, parti-parti komponen lain di dalam BN juga perlu membantu secara lebih kolektif untuk memenangi PRN tersebut,” katanya di sini hari ini.
Tambah Kamarul Azman, gabungan mantap barisan kepemimpinan UMNO Kedah yang diterajui Mahdzir itu dilihat konsisten dan mampu mengembalikan semula sokongan.
“Apa yang lebih penting UMNO dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat khususnya di dalam menarik sokongan anak muda untuk bersama UMNO,” katanya.-UTUSAN