PETALING JAYA: Bertugas ketika Aidilfitri bukan beban bagi barisan hadapan sebaliknya ia satu tanggungjawab terhadap negara.
Malah ada antaranya sudah bertahun tidak pulang ke kampung halaman serta lali bertugas pada hari raya pertama demi berbakti kepada masyarakat.
Anggota trafik, Koperal Mohd. Zabri Abdullah, 41, berkata, dia telah terbiasa bertugas ketika hari raya namun mengakui sebak melihat anak dan isteri terpaksa berkorban tidak pulang ke kampung bagi menemaninya di ibu negara.
Jelasnya, ketika bujang, bertugas ketika raya bukan satu halangan buatnya namun keadaan berbeza apabila sudah berkeluarga terutama anak-anak yang semakin faham apa ‘erti’ raya.
“Rasa ralat apabila tidak dapat berikan hak mereka untuk menikmati raya seperti pulang ke kampung di Pasir Mas, Kelantan.
“Walaupun sebelum ini pernah cadangkan kepada isteri agar dia dan anak-anak beraya di kampung namun menolak. Saya bersyukur isteri sanggup berkorban demi tugas saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Bagaimanapun dia mengakui berasa sebak di pagi raya mengenangkan ibu di kampung selain tidak dapat menziarahi pusara bapa.
“Namun perasaan itu hilang ketika bertugas di lapangan. Ibu dan keluarga sangat memahami tanggungjawab saya sebagai anggota trafik yang sememangnya cuti dibeku ketika perayaan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Fadhilah Ismail, 28, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh berkata, berjauhan dengan ahli keluarga di Beaufort, Sabah selain tidak berpeluang meraikan Aidilfitri bersama sejak lima tahun bertugas merupakan pengorbanan terbesar sebagai anggota penyelamat.
Bagaimanapun jelasnya, dia dan anggota lain yang bertugas mengambil pendekatan mengadakan jamuan dengan juadah hari raya bagi menghidupkan suasana Aidilfitri.
“Walaupun ia berbeza dengan lengkap beruniform serta keadaan bersedia (standby) jika berlaku kejadian kecemasan namun kami cuba menyambutnya di balai.
“Pada pagi raya, biasanya kami akan masuk kerja untuk pertukaran tugas, pemeriksaan peralatan kebombaan dan jentra operasi kemudian makan juadah raya bersama anggota lain.
“Semenjak menjadi anggota bomba lima tahun lalu, saya belum berpeluang balik beraya di Sabah namun saya sentiasa sabar dan percaya akan tiba waktunya nanti,” katanya. – UTUSAN