SEPANG: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya yang mula beroperasi pertengahan Mac lalu masih belum dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas ketika ini.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, ia masih pada peringkat untuk melihat keberkesanan laluan itu, namun trend penumpang semakin meningkat.
Beliau berkata, pihaknya melihat keadaan kesesakan lalu lintas terutama pada bulan Ramadan ini agak kritikal dan sesak.
“Ia (kesesakan) boleh dilihat di Lebuhraya MEX, Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Kuala Lumpur- Sungai Besi setiap hari. Buat masa ini, saya tidak hendak katakan bahawa laluan MRT itu sudah berjaya kurangkan kesesakan kerana masih di peringkat awal.
“Tetapi kita lihat bahawa trend jumlah penumpang itu akan terus meningkat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Tenaga Diperbaharui Rail Link Sdn Bhd (ERL) di Depoh ERL Salak Tinggi di sini, hari ini.
Katanya, bagi tempoh dua minggu ketika majlis pembukaannya secara percuma pada 16 Mac lalu, jumlah penumpang mencecah 100,000 setiap hari, namun ketika ini ia berada pada sekitar 80,000 penumpang sehari.
Loke berkata, kapasiti sebenar penumpang bagi MRT Laluan Putrajaya boleh menampung sehingga 200,000 penumpang sehari.
Sementara itu, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong penuh inisiatif memperluas program tenaga diperbaharui di semua operator pengangkutan awam dan pelabuhan-pelabuhan di seluruh negara.
“Inisiatif ini sesuai dilaksanakan bagi sektor pengangkutan rel kerana banyak bumbung di atas stesen boleh digunakan untuk pasang panel solar.
“Dasar ini akan diperluaskan kepada operator seperti Prasarana, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan ada perancangan juga untuk dipasang pada stesen MRT dan LRT untuk di sekitar Lembah Kelang,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata, buat masa ini, tiga stesen dipasang panel solar masing-masing Stesen ERL Bandar Tasik Selatan, Salak Tinggi dan Depoh Salak Tinggi.
Menurutnya, pihaknya mampu menjimatkan kos operasi sebanyak RM140,000 setahun menerusi inisiatif berkenaan.
Terdahulu, Loke memulakan inisiatif sistem tenaga diperbaharui di Depoh ERL Salak Tinggi termasuk memeriksa pemasangan panel solar di atas bumbung depoh berkenaan.
Dengan pelaksanaan projek ini, ERL dianggap sebagai pengendali rel dan pengangkutan awam pertama di Malaysia yang memulakan inisiatif tenaga diperbaharui bagi kegunaan premisnya. – UTUSAN