KLANG: Peniaga di Pasar Besar Klang, di sini khuatir bekalan ayam tidak mencukupi seminggu sebelum Aidilfitri di sebalik permintaan tinggi daripada pengguna.
Salah seorang peniaga enggan identitinya didedahkan, memberitahu, dia mula berdepan masalah tersebut sejak April lalu dan bimbang situasi tersebut akan berlarutan seperti tahun lalu sehingga menekan peniaga untuk menaikkan harga.
“Macam semalam, tempah 100 ekor ayam dari pembekal tetapi saya dapat 80 ekor sahaja. Hari ini, pun sama dapat 70 ekor walaupun tempah 100 ekor. Saya risau akan dapat kurang lagi ayam.
“Maklumlah, raya semakin dekat nanti ramai peniaga ayam dekat pasar-pasar mula tempah lebih banyak ayam daripada pembekal berbanding hari biasa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan masalah bekalan ayam dijangka melanda utara tanah air menjelang Syawal ini ekoran isu kekurangan anak ayam yang dialami penternak terutama di Kedah.
Hal tersebut dimaklumkan Pengarah Urusan Ayam Bismi, Mazlina Kamarudin, berikutan pihaknya turut mengalami masalah untuk menambah bekalan ayam bagi menampung permintaan yang dijangka tinggi ketika Hari Raya Aidilfitri nanti.
Sementara itu, hal sama turut diluahkan peniaga, Roslan Hamid, 35, yang berharap lebih banyak bekalan dapat dijual kepada pengguna berikutan terdapat permintaan tinggi terhadap sumber protein itu ketika musim perayaan.
Menurutnya, menjelang akhir Ramadan, pengunjung di pasar ini lebih ramai berbanding kebiasaan dan kebanyakan mereka akan membeli lebih daripada seekor sebagai persediaan untuk menyambut Aidilfitri.
“Seminggu menjelang raya, 100 ekor ayam saya boleh jual habis dalam tempoh dua jam sahaja. Kalau sekarang bekalan kurang, tak apalah. Jangan kurang waktu nak dekat raya. Kami pun nak buat untung,” ujarnya. – UTUSAN