Bekalan air di Manjung kembali terjejas namun kini sudah pulih - Utusan Malaysia

Bekalan air di Manjung kembali terjejas namun kini sudah pulih

TANGKAP layar kerja-kerja membaiki paip air bocor di LRA Teluk Kepayang, Bota hari ini. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Bekalan air ke daerah Manjung kembali terjejas hari ini apabila paip air di Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang, di Bota mengalami kebocoran pagi tadi.

Masalah itu bagaimanapun berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira tiga jam dan bekalan air ke daerah itu kembali pulih petang ini.

Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ishak Abd. Rahman berkata, kejadian kebocoran itu disedari kira-kira pukul 8 pagi dan serentak itu operasi LRA Teluk Kepayang terpaksa diberhentikan sementara.

“Ia hanya melibatkan kebocoran kecil dan bukan di kedudukan paip yang putus sebelum ini, walaupun terletak tidak jauh dari paip yang sudah dibaiki itu.

“Walaupun kebocoran kecil dan air keluar seperti kebocoran air pili di rumah, jika tidak ambil tindakan awal, dikhuatiri akan menjadi besar, jadi terpaksa diberhentikan operasi LRA seketika,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas hebahan dan video yang tular mengenai gangguan bekalan air di daerah Manjung hari ini sehingga menimbulkan keresahan penduduk kemungkinan berlaku lagi bekalan air terputus sehingga beberapa hari yang berlaku awal bulan ini.

Pagi ini, tular hebahan mengenai gangguan bekalan air luar jangka berikutan masalah paip air mentah bocor di LRA Teluk Kepayang bermula pukul 9 pagi sehingga kerja-kerja pembaikan selesai, melibatkan seluruh Ayer Tawar, Sitiawan, Seri Manjung, Lekir ke Kayan, Lumut dan Pulau Pangkor.

Menurut, Ishak, LRA Teluk Kepayang kembali beroperasi kira-kira pukul 2 petang ini dan hampir 70,000 akaun LAP menerima kembali bekalan air.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan sebanyak 79,360 akaun bekalan air di daerah Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air bermula tengah hari 31 Mac lalu selepas paip bagi menyalurkan air tersebut terputus.

Ia melibatkan 69,700 akaun pengguna di Manjung dan 9,660 akaun pengguna di Perak Tengah, yang mengalami gangguan bekalan selama beberapa hari dan pulih sepenuhnya sebelum 8 Mac lalu.

Kawasan terlibat pula ialah Pulau Pangkor, Lumut, Seri Manjung, Sitiawan, Ayer Tawar, Lekir dan Kayan di daerah Manjung serta Seberang Perak, Changkat Lada, Kampung Gajah, Bukit Chawi, Simpang Ranggam dan Hujung Rintis di daerah Perak Tengah.

Dalam tempoh tersebut, penduduk menerima bekalan air daripada lori tangki yang dihantar khas ke daerah itu oleh LAP serta bantuan daripada lori tangki operator air dari tujuh negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya