JOHOR BAHRU: Bahang sambutan Hari Raya Aidilfitri kian dirasai dan para peniaga semakin mempromosi serta meningkatkan jualan masing-masing, terutamanya barang keperluan serta makanan.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Taman Dahlia, di sini mendapati para peniaga sudah mula menjual daun dan kelongsong ketupat.
Seorang peniaga, Mohd. Amirul Selamat, 48, berkata, stok daun ketupat ditempah dari Indonesia kerana kualiti dan ketahanan daunnya.
“Tahun ini saya membawa masuk sebanyak 1,600 pelepah kelapa dari Indonesia.
“Sampai di sini baru saya memotong helaian daun kelapa muda dari pelepahnya, sebab semua daun ketupat yang ditempah datang dengan pelepahnya sekali,” katanya.
Menurutnya, 1,600 pelepah itu boleh menghasilkan sebanyak 80,000 helaian.
Seikat daun seberat satu kilogram yang mengandungi 60 hingga 70 helaian dijual pada harga RM10.
Dia turut menjual kelongsong ketupat dengan harga 80 sen sebiji, manakala RM1.50 sebiji bagi yang sudah dimasak.
Namun, Mohd. Amirul menjangkakan jualan daun ketupat tahun ini merosot kerana orang ramai mula berjimat berikutan baharu membelanjakan keperluan sekolah bagi anak-anak mereka.-utusan