Bas elektrik tingkat pelancongan Taiping - Utusan Malaysia

Bas elektrik tingkat pelancongan Taiping

SANDREA Ng Shy Ching (tengah) pada pelancaran bas EV MPT di Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang mempunyai sebuah bas Electric Vehicle (EV) termasuk menguruskannya secara penuh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, buat masa ini bas EV itu beroperasi bagi tempoh percubaan selama tiga bulan mulai 1 Mei hingga 31 Julai ini.

Menurutnya, bas EV itu akan membawa penumpang di laluan pelancongan dikenali Jejak Warisan untuk memperkenalkan destinasi bersejarah di bandar ini.

“Bas EV ini mempunyai kapasiti 22 kerusi penumpang termasuk satu kerusi penumpang untuk orang kurang upaya (OKU).

“Bas ini menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan saya difahamkan ia hanya menggunakan sekitar 16 peratus elektrik sahaja iaitu ketika membuat tinjauan di laluan Jejak Warisan hari ini.

“Bas EV ini merupakan sumbangan kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA),” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada pelancaran bas EV MPT di pekarangan Zoo Taiping di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan dan Yang Dipertua (YDP) MPT, Khairul Amir Mohamad Zubair.

Sandrea berharap perkhidmatan bas EV itu dapat melonjakkan industri pelancongan di Taiping Bandar Warisan yang akan menyambut ulang tahun ke-150 tahun depan.

Menurutnya, bas itu beroperasi setiap hari dan menyediakan empat kali perjalanan sehari bermula pukul 9 hingga 11 pagi dan 3 petang hingga 5 petang.

“Pada Sabtu dan Ahad, perkhidmatan yang disediakan sebanyak lima kali sehari pada waktu yang sama dan setiap perjalanan mengambil masa sekitar 1 jam 21 minit,” katanya.

Menurutnya, tiket selepas tamat tempoh percubaan akan dijual pada harga RM20 untuk dewasa manakala warga emas, kanak-kanak dan OKU RM10.

Bas EV itu akan berhenti pada tiga tempat di laluan Jejak Warisan bagi membolehkan penumpang turun untuk berswafoto dan terdapat seorang pemandu pelancong yang akan menerangkan lokasi Jejak Warisan kepada pelancong atau penumpang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN