Bantuan e-wallet RM200 ringan beban ekonomi mahasiswa - Utusan Malaysia

Bantuan e-wallet RM200 ringan beban ekonomi mahasiswa

MUHAMMAD DANIAL ALIMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan bantuan e-Wallet RM200 kepada semua mahasiswa sebagai satu langkah prihatin dan cakna oleh kerajaan terhadap nasib rakyat terutama mahasiswa yang tergolong dalam kategori B40.

Naib Presiden Siswanya, Muhammad Danial Alimin berkata, ini memandangkan majoriti mahasiswa turut terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Menurutnya, banyak manfaat yang bakal diperoleh daripada program yang turut membantu mahasiswa dalam berbelanja secara norma baharu tersebut.

“Mahasiswa tidak perlu membawa wang secara fizikal untuk membeli sesuatu sebaliknya menggunakan kaedah online (dalam talian) sesuai dengan perkembangan semasa.

“Walaupun jumlah itu tidak besar, GPMS yakin dan percaya buat masa ini sebagai seorang yang bergelar mahasiswa, ia amat bermanfaat dan mampu meringankan beban dalam menangani peningkatan kos sara hidup mahasiswa di IPT (institusi pengajian tinggi),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju memperluaskan bantuan tunai dompet elektronik (e-dompet) kepada semua mahasiswa berbanding had umur ditetapkan sebelum ini iaitu 18 hingga 20 tahun seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2023.

Tambah Muhammad Danial, GPMS juga berharap pada masa akan datang kerajaan dapat meneruskan program seumpama itu kepada mahasiswa atau dibuka kepada pelajar yang menuntut di Tingkatan 6.

Dalam masa sama, jelasnya, inisiatif itu juga wajar dipermudahkan lagi seperti boleh digunakan untuk pembelian secara online dan bukan sekadar ‘offline’ di tempat-tempat tertentu sahaja.

“Selain itu, GPMS juga berharap kerajaan dapat meneruskan usaha-usaha seperti ini bagi meringankan beban mahasiswa yang menuntut di IPTA dan IPTS,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya