KLANG: Yayasan Kita Anak Malaysia komited dalam membantu mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang menghadapi masalah peningkatan kos sewa rumah sehingga 30 peratus ketika ini.
Lembaga Pengarah yayasan itu, Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy berkata, pihaknya menerima banyak rungutan penuntut yang menetap di Shah Alam dan daerah ini mengenai kenaikan sewa mendadak selepas sesi pengajaran dan pembelajaran kembali dilakukan secara bersemuka.
“Pemerhatian kami mendapati kos sewaan rumah terutama di bandar termasuk kediaman bertingkat ketika ini kebanyakannya lebih RM1,500 sebulan.
“Keadaan itu jelas membebankan pelajar terutama kelompok B40 yang turut berdepan kos sara hidup tinggi sekali gus bakal merencatkan pembelajaran mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Jalinan Kasih anjuran yayasan itu di sini, malam tadi.
Pada program itu, seramai 200 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor (UNISEL), pelajar orang kurang upaya (OKU) serta anak yatim menerima sumbangan Aidilfitri.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sewa kediaman yang mahal dan kos sara hidup tinggi menyebabkan penuntut IPT di bandar terpaksa berhimpit dalam satu rumah selain ada yang bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian.
Situasi itu menyebabkan ramai yang menyewa rumah dan berkongsi sehingga 20 orang, tidur berhimpit enam atau lapan orang sebilik, persis ‘tin sardin’.
Selain itu, kes penipuan rumah sewa berleluasa apabila sindiket tersebut menjadikan musim kemasukan mahasiswa ke universiti sebagai lubuk mengaut keuntungan dengan memperdaya mangsa hingga kerugian puluhan ribu ringgit.
Jelas Sara, pihaknya setakat ini membantu lebih 200 mahasiswa menyelesaikan isu rumah sewa berkenaan sejak empat tahun lalu.
“Selain sumbangan kewangan, inisiatif itu meliputi perbincangan dan pencarian rumah dengan kos munasabah dan tidak terlalu mahal. Kami turut menjalin kerjasama dengan IPT bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi masalah berkenaan secara berterusan,” jelasnya.
Justeru, beliau meminta pemilik rumah lebih bertimbang rasa mengenakan kos sewaan dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa terutama melibatkan penuntut IPT. – UTUSAN