Baju Melayu ‘Rahmah’ serendah RM35 - Utusan Malaysia

Baju Melayu ‘Rahmah’ serendah RM35

FAIZ Ismail (kanan) melayan pelanggan yang memilih baju Melayu yang ditawarkan pada harga Rahmah serendah RM35 di Toko Ar-Rayyan di Kompleks Tok Arau, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Tidak seperti kehadiran 1 Syawal sebelum ini, sambutan terhadap jualan pakaian serta kelengkapan Aidilfitri masih perlahan meskipun sudah hampir memasuki minggu terakhir Ramadan.

Menyedari keadaan ekonomi yang tidak menentu itu, sebuah kedai kelengkapan barangan Muslim, Toko Ar-Rayyan di Kompleks Tok Arau di sini mengambil inisiatif berniaga sambil membantu dengan menawarkan baju Melayu dan kurta pada harga Rahmah serendah RM35.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Toko Ar-Rayyan, Faiz Ismail, 38, berkata, dia menawarkan kira-kira 3,000 pasang baju Melayu selain kurta pada harga tersebut sekali gus membantu mengurangkan beban orang ramai dalam me­nyambut lebaran.

Katanya, harga yang ditawarkan itu hanya serendah RM35 dengan pelbagai pilihan warna.

Jelasnya, selain baju Melayu dan kurta, beberapa kelengkapan lain seperti telekung serta kain sarung juga ditawar pada harga cukup rendah sekitar RM15.

“Kita faham dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kuasa membeli itu semakin berkurangan. Suasana tersebut berbeza berbanding sebelum ini yang mendapat sambutan cukup hebat khususnya dalam minggu terakhir Ramadan.

“Jika sebelum ini, dalam suasana seminggu sebelum raya, kita mampu menerima sehingga 500 pelanggan sehari namun kini hanya sekitar 100 pelanggan. Mungkin ramai yang masih menunggu gaji untuk belanja raya.

“Memahami kesukaran tersebut, kita mengambil pendekatan menawarkan baju Melayu pada harga Rahmah. Inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban mereka khususnya yang mempunyai anak ramai,” katanya.

Menurut Faiz, sejak diper­kenalkan, sambutan pelanggan terhadap baju Melayu pada harga Rahmah itu sangat menggalakkan.

“Insya-Allah jika sambutan semakin memberangsangkan, kita menambah stok baju Melayu dan kurta tersebut. Apa yang penting, sambil berniaga kita turut membantu.

“Selain itu, kita menawarkan pelbagai lagi kelengkapan lain dengan harga yang berpatutan. Suasana mungkin lebih meriah apabila orang ramai mula mendapat gaji jika dapat diawalkan sebelum 25 April,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya