Baiki atau bina baharu Wisma Jakel - Utusan Malaysia

Baiki atau bina baharu Wisma Jakel

Jakel
MOHAMAD Faroz Mohamed Jakel (tengah) dalam sidang akhbar di gedung tekstil sementara Jakel dekat Seksyen 7, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Wisma Jakel dekat Seksyen 7 di sini yang hangus dalam dua kejadian kebakaran pada awal Januari lalu belum ditentukan sama ada akan dibaik pulih atau dibina semula.

Keputusan tersebut akan ditentukan selepas pengurusan gedung tekstil terkenal itu menerima laporan penuh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurut Pengarah Urusan Jakel Trading Sdn. Bhd. Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, beliau menjangkakan bangunan tersebut beroperasi semula pada 2025 selepas menjalani salah satu proses tersebut.

“Bangunan lama (wisma) masih dalam proses strength test (ujian kekuatan struktur bangunan) bagi menentukan sama ada ia masih boleh dibaik pulih atau dirobohkan. Kita akan dapat laporan ini dalam bulan Mei ini.

“Kerja baik pulih atau pembinaan semula akan dibuat secepat mungkin dan dijangka siap dalam tempoh setahun setengah. Apa yang penting, Wisma Jakel ini struktur bangunannya mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan JBPM,” katanya dalam majlis pelancaran gedung tekstil baharu Jakel di Persiaran Bestari, hari ini.

Utusan Malaysia pada Januari lalu melaporkan premis tiga tingkat yang terletak di Jalan Plumbum S7/S itu terbakar dan mengakibatkan Jakel kerugian hampir RM100 juta.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku akibat litar pintas dengan pihak bomba melakukan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Mohamed Faroz memaklumkan, Jakel Shah Alam akan meneruskan perniagaan di gedung sementara yang terletak bersebelahan Hospital Shah Alam berkeluasan 2.84 hektar dan mampu menampung kehadiran sehingga 10,000 pengunjung dalam satu-satu masa.

“Ini adalah gedung sementara sahaja kerana saya rancang nak bina sebuah mall (pusat membeli-belah) dan tiga buah apartment di sini. Saya bersyukur kerana ramai yang menyokong Jakel selepas insiden kebakaran itu dengan membeli pakaian yang dikeluarkan syarikat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya