PUTRAJAYA: Tiada masalah bagi Malaysia untuk membenarkan kerajaan Australia berkongsi laporan penuh Tragedi Double Six pada 1976 membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Allahyarham Tun Fuad Stephens.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya sudah pun menghubungi kerajaan Australia menerusi suruhanjaya tinggi mereka di Kuala Lumpur.
Malah, katanya, beliau dimaklumkan Australia sudah bersedia untuk berkongsi laporan penuh tragedi berkenaan.
“Mereka menghormati pendirian Malaysia mengenai tragedi itu dan meminta keizinan kita untuk berkongsi laporan itu, malah kita tiada halangan mengenainya.
“Terpulang kepada mereka (Australia) bila untuk berkongsi laporan penuh tragedi itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, kerajaan juga tidak mempunyai alasan kukuh kenapa tragedi itu diklasifikasikan sebagai ‘rahsia’ sejak 47 tahun lalu sebelum ia didedahkan semalam.
Bagaimanapun, Loke berkata, beliau memahami perasaan waris keluarga nahas itu dan sudah tiba masanya punca nahas itu didedahkan kepada awam.
Ditanya sama ada keluarga mangsa ada menuntut pampasan berhubung tragedi itu, Loke berkata, kerajaan tidak pernah menerima permohonan pampasan daripada keluarga mangsa.
“Soal tuntutan pampasan tidak timbul malah waris juga tidak pernah kemuka permohonan itu. Saya tidak tahu apa tuntutan dan permintaan keluarga pada masa itu.
“Namun, saya dimaklumkan mereka (keluarga mangsa) cuma mahu tahu punca nahas itu sahaja,” katanya.
Sebelum ini, keluarga Allahyarham Tun Fuad Stephens mendakwa laporan penuh nahas pesawat Sabah Air dalam Tragedi Double Six pada 1976 yang didedahkan umum semalam belum lengkap selagi kerajaan Australia tidak melakukan perkara yang sama.
Mereka menyifatkan laporan mengenai nahas dikeluarkan Kementerian Pengangkutan semalam itu tidak memberi gambaran menyeluruh tragedi berkenaan.
Sehubungan itu, mereka berpendapat kerajaan Australia perlu mengeluarkan laporan mengenai nahas pesawat terbabit yang tersimpan sejak 47 tahun lalu.
Jabatan Penerbangan Awam semalam mendedahkan, tiada sebarang bukti sabotaj, kebakaran atau letupan ditemui oleh pasukan penyiasat dalam siasatan terhadap punca pesawat terhempas pada 6 Jun 1976 itu.
Penemuan itu adalah berdasarkan laporan akhir nahas pesawat terbabit yang dinyahklasifikasi mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), didedahkan semalam. – UTUSAN