KUALA LUMPUR: Penyanyi, As’ad Motawh, 21, memutuskan untuk berhenti daripada memuat naik sebarang imej dirinya tidak berbaju di Instagram.
Katanya, dia merasakan tindakan tersebut tidak mendatangkan faedah dan perlu dihentikan.
“Kalau pengikut Instagram saya perasan, Kebelakangan ini saya sudah tidak lagi menghasilkan kandungan-kandungan sebegitu.
“Saya sedar ia adalah tindakan yang tak elok. Jadi saya belajar daripada kesilapan.
“Masa muda dulu, memang seronok tunjuk badan di media sosial. Sekarang, saya rasa tidak perlu,” katanya yang belajar dari pengalaman lalu.
Dalam masa yang sama, As’ad yang pernah tampil dengan single berjudul Senyum mendedahkan turut menerima gangguan seksual kerana menayang badan di Instagram.
“Memang ada (gangguan seksual). Itu antara sebab kenapa saya mahu berhenti ‘tayang badan’ di media sosial.
“Gangguan yang diterima terlalu banyak. Tapi bagi saya ia tak penting dan tak perlu untuk saya mengingatinya,” jelasnya.