INI adalah antara perkara penting yang sudah lama Cik Bunga mahu suarakan. Terutama apabila melihat semakin ramai artis kita yang seakan berlumba-lumba mahu tampil kurus ramping sampai sanggup memperjudikan nikmat kesihatan demi tujuan cantik kosmetik.
Iyalah, kalau sudah namanya cantik kosmetik, bermakna apa yang dimiliki selepas membuat pembedahan ubah itu ini termasuklah buat pembedahan bariatrik, semua itu mustahil cuma berlandaskan pada alasan mahu tampil sihat.
Cik Bunga tak nafikan, mungkin pada asalnya artis-artis yang buat pembedahan bariatrik itu telah mendapat khidmat nasihat doktor sebelum meneruskan rawatan. Itu memang prosedurnya.
Namun, jangan tak tahu, kalau ada juga segelintir daripadanya yang ternyata memang degil, tetap juga hendak buat pembedahan walaupun doktor telah melarang.
Inilah yang boleh mendatangkan kebimbangan sebab suka atau tidak, setiap apa yang dilakukan oleh golongan artis atau selebriti, ia boleh mempengaruhi pengikut, peminat atau masyarakat secara tidak sedar.
Iyalah, ini sudah tahun 2023, tak ada maknanya masih ramai yang percaya yang seseorang artis itu boleh ramping kurus cantik hanya dengan menggunakan produk jualan mereka semata-mata.
Orang sekarang pun bijak-bijak, tak perlu bohong mereka. Soal mampu memberi pengaruh tidak sihat kepada orang lain, itu satu.
Soal kesihatan sendiri terjejas juga boleh mencetuskan satu lagi isu. Adakala, artis yang sanggup buat pembedahan demi kosmetik itu pun tak memikirkan soal faktor usianya.
Kalau faktor usia boleh mendatangkan risiko, Cik Bunga rasa lebih baik usah lakukan. Jalani sahajalah diet yang seimbang dan bersesuaian.
Tapi itulah, bukannya Cik Bunga tak faham, kebanyakan yang sanggup ambil risiko membuta tuli itu disebabkan mahu kesan dan hasil yang cepat.
Jangan pula salah faham dan menganggap Cik Bunga anti individu yang buat pembedahan bariatrik. Itu semua pilihan masing-masing.
Cuma yang penting, kena fahami dulu mengapa dan sebab apa ia dilihat sebagai satu keperluan. Kalau sekadar ber kir ‘Alah…aku dapat tanggung risiko itu, tak ada hal lah’, bermakna anda sendiri telah memperjudikan nyawa di tangan sendiri.
Percayalah, cantik itu subjektif dan setiap daripada kita ada kelebihan masing-masing. Bagi Cik Bunga, usahlah terlalu taksub nak cantik, nak kurus tak tentu pasal. Kelak akan memakan diri, percayalah.