Api marak terlalu cepat punca kanak-kanak gagal diselamatkan - Utusan Malaysia

Api marak terlalu cepat punca kanak-kanak gagal diselamatkan

SOFFIAN Santong meninjau lokasi kebakaran membabitkan tiga buah rumah yang mengorbankan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di Kampung Pisang, Air Itam, Georg Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Faktor api yang marak terlalu cepat dipercayai menjadi punca seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam kebakaran membabitkan tiga buah rumah di Kampung Pisang, Air Itam, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mayat mangsa, G. Sri Laavanya ditemukan terbaring di bahagian belakang katil di dalam bilik bapanya dalam keadaan rentung.

Katanya, mangsa dipercayai cuba bersembunyi di belakang katil dan ketika kejadian bapanya tiada di rumah dan mangsa berada di rumah bersama datuk dan neneknya.

”Api dikatakan marak dengan cepat, nenek dan datuk mangsa telah lari keluar dan tidak sempat mencarinya ketika kebakaran tersebut.

“Ini kerana mangsa sebelum ini tidur sendiri di biliknya, namun semalam mangsa tidur di bilik bapanya, mangsa merupakan anak tunggal dan ibunya telah meninggal dunia beberapa tahun lepas,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.19 malam tadi itu, mangsa ditemukan maut setelah berlaku kebakaran membabitkan tiga buah rumah yang disewa.

Menurut Soffian, nenek mangsa mengalami kecederaan ringan iaitu melecur di tangan kanan dan kini mendapatkan rawatan awal di Hospital Pulau Pinang (HPP).

”Rumah yang dihuni mangsa bersama ahli keluarganya ini adalah sebuah unit yang mengandungi tiga bilik dan mereka menyewa unit tersebut dengan harga RM100 sebulan.

”Dua lagi unit turut disewa dengan tiga penghuni di setiap unit dan unit ini turut terbakar. Api dikatakan berpunca daripada unit yang dihuni keluarga mangsa,” katanya.

Tambahnya, punca sebenar kebakaran tersebut masih disiasat pihak berkuasa.

Sementara itu, ketika ditemui di unit forensik HPP, ahli keluarga mangsa enggan ditemubual kerana terlalu sedih dengan kejadian membabitkan kanak-kanak tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya