ALOR SETAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa kira-kira 15 minit ketika mengadakan kunjungan singkat ke Dataran Stargate, di sini yang menjadi tapak penganjuran program Himpunan Madani Kedah.
Perdana Menteri yang tiba pada pukul 5.30 petang turut berkesempatan untuk bersalaman dan berswafoto bersama sebahagian kira-kira 3,000 pengunjung termasuk golongan muda yang menyertai himpunan tersebut.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Salahuddin Ayub serta beberapa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Antara pengisian program tersebut yang bermula sejak pukul 3 petang tadi adalah pidato oleh kepimpinan anak muda, golongan wanita, pesawah, petani dan nelayan.
Perdana Menteri dijadualkan untuk menyampaikan pidato khas selain melancarkan Bas dan Trak Perpaduan malam ini yang akan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Program akan turut diserikan dengan persembahan khas oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dan penyanyi legenda tanah air, Datuk Amy Search. –UTUSAN