PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan golongan pendidik, ilmuwan, ulama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada majlis iftar di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Hadir sama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Turut serta kakitangan dari agensi kerajaan antaranya Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Lembaga Tabung Haji dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam antaranya Pergerakan Belia India Muslim Malaysia.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran 20 anak yatim dari Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dengan komuniti berkenaan serta anak yatim dan warga kementerian yang hadir sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah
Hari ini adalah hari keempat anjuran majlis iftar bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana sejak Isnin lalu. – UTUSAN