KUALA TERENGGANU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yakin kerjasama kerajaan negeri mampu menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan koperasi khususnya dalam meluaskan rantaian
perniagaan koperasi di negeri berkenaan.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama dan hubungan rapat antara ANGKASA Negeri dengan wakil Exco Kerajaan Negeri memainkan peranan signifikan dalam kitaran ekonomi negara seterusnya menjadi penyumbang berkesan kepada kesejahteraan anggotanya.
“Berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), jumlah koperasi berdaftar di negeri Terengganu sehingga Disember 2022 adalah sebanyak 790 buah koperasi dengan keanggotaan berjumlah 238,844 orang, syer/yuran sebanyak RM282.51 juta serta jumlah aset sebanyak RM633.37 juta dan perolehan sebanyak RM498.61 juta.
“Statistik ini membuktikan koperasi masih relevan dalam arus perdana sosioekonomi negara, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu serta kos sara hidup yang tinggi. Aktiviti ekonomi yang diusahakan koperasi mampu menjana pendapatan dan pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Projek Barangan Asas (BA100) menerusi Program CoopCare Sepakat Aidilfitri ANGKASA pada Majlis Iftar Ramadan ANGKASA Terengganu 2023, bertempat di sini semalam.
Majlis yang dirasmikan Wakil Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Ahmad Shah Muhamed itu turut dihadiri Pengerusi JPAN Terengganu, Mohamed Yusoff; Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Haslinda Sujak; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Kampus Besut, Mohd Ali Hashim; Pengerusi Koperasi Konsortium Penyayang Terengganu Berhad (KKPTB) merangkap Pengerusi Koperasi PEKA Malaysia Berhad, Ismail Muda.
Seramai 400 anggota koperasi negeri ini termasuk 250 orang anggota KKPTB diraikan dalam majlis berkenaan yang terdiri daripada Koperasi PEKA Malaysia (OKU Pekak), Koperasi Gerak Wawasan Terengganu Berhad (cacat anggota) dan Koperasi PERTIS Terengganu Berhad (cacat penglihatan).
Mereka menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan asas Projek Barangan Asas (BA100) menerusi Program CoopCare Sepakat Aidilfitri ANGKASA yang diharap dapat memberikan keceriaan serta membantu mereka membuat persiapan menyambut Syawal yang bakal tiba. – UTUSAN