Anggota APM baru tamat kerja maut kemalangan

Anggota APM baru tamat kerja maut kemalangan

KEADAAN motosikal ditunggang Razali Abdul Manaf (gambar kecil) yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 15.3, Lebuhraya Utara Selatan, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninggal dunia setelah motosikal dinaikinya terbabit dengan kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kilometer 15.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 12.55 tengah malam itu, mangsa, Razali Abdul Manaf, 56, menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga kenderaan tersebut bergerak dari arah sama.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai hilang kawalan dan melanggar motosikal jenis Honda Wave ditunggang mangsa yang berada di depannya.

“Mangsa terjatuh ke atas jalan sebelum dilanggar pula oleh sebuah kereta Proton Persona dipandu lelaki berusia 42 tahun yang tidak sempat mengelak. Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi memaklumkan, mangsa ketika itu baru habis bertugas syif petang yang bermula pukul 4 petang hingga 12 malam.

Katanya, Razali yang sudah enam tahun bertugas dengan APM Kubang Pasu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

“Saya turut ke lokasi kejadian setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak polis. Jasad arwah juga diuruskan oleh pihak kami yang terlebih dahulu dimaklumkan oleh orang awam mengenai kejadian itu.

“Arwah seorang yang rajin dan berdisiplin. Semalam saya dimaklumkan memang arwah ada menunjukkan beberapa perubahan ketika bertugas dengan dia yang biasanya dikenali sebagai individu kurang bercakap, kerap pula bergurau bersama rakan-rakan di pejabat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya