SEPANG: Hidangan lemang yang dimakan bersama rendang antara juadah wajib setiap kali sambutan perayaan Aidilftiri.
Permintaan tinggi juadah itu mendorong sekumpulan anak muda dari Persatuan Belia Gugusan Salak (Bagus) mengusahakan jualan ‘Lemang Bagus’ sejak 12 tahun lalu di Kampung Salak Tinggi, di sini.
Keenakan lemang dengan mengekalkan kualiti rasa terbaik sentiasa menjadi pilihan pelanggan sehingga mereka tidak menang tangan membuat persiapan sejak seminggu lalu apabila sudah menerima tempahan sebanyak 7,000 batang setakat ini.
Jumlah itu semakin meningkat menjelang beberapa hari sebelum Aidilfitri.
Menurut ketuanya, Muhammad Hydier Hamid, 44, berkata, dia dibantu seramai 60 anak muda termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjayakan aktiviti jualan yang dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti penyedian buluh, memasukkan pulut ke dalam buluh, memasak, penghantaran dan penjualan.
“Selain dapat menambah sumber pendapatan kepada anak muda, aktiviti ini mampu melahirkan minat mereka untuk mempelajari masakan tradisional yang menjadi pilihan utama di pagi raya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Muhammad Hydier berkata, jualan lemang ini bukan mahu mendapat keuntungan semata-mata, malah hasil keuntungan jualan diinfakkan kepada masyarakat kampung dan golongan memerlukan.
Katanya, ini termasuk mengadakan Ziarah Kasih bagi mengedarkan lemang percuma kepada golongan miskin dan warga emas terpilih untuk menyambut raya.
“Sebelum ini hasil keuntungan diinfakkan untuk membeli kenderaan dan kelengkapan jenazah, katil hospital, kerusi roda, tabung oksigen selain mengadakan kerja-kerja kebajikan serta khidmat sosial masyarakat kepada golongan warga emas dan kurang berkemampuan.
“Kami berbangga dapat membantu menjana pendapatan kepada golongan muda, namun pada masa sama aktiviti ini berpeluang menghulurkan bantuan kepada penduduk setempat yang memerlukan,” katanya.
Hydeir turut memberitahu, dia masih mengekalkan harga sama sejak lima tahun lalu iaitu antara RM12 hingga RM24 mengikut saiz tanpa mengurangkan saiz, pulut dan santan supaya pelanggan tidak terbeban dengan peningkatan kos barangan ketika ini. – UTUSAN