PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Bunkface, Sam tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku melibatkan hak penjagaan anak antara dirinya dengan bekas isteri, Aida Azira Husin.
Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar Mohd. Baharom berkata, dia tidak pernah gagal melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan bayaran nafkah terhadap anaknya, Maleeq sejak mereka bercerai pada 2019.
Malah, katanya, dia juga bergilir-gilir menjaga Malek dengan bekas isteri dalam tempoh dua minggu sebulan.
“Dia (bekas isteri) minta RM1,300 sebulan dan saya mohon pindaan bayaran nafkah sejak dua tahun lalu, dan hak penjagaan diberikan sama rata iaitu dua minggu sebulan.
“Logik ke kalau dia minta kos itu untuk tempoh jagaan hanya selama dua minggu dan saya mohon pindaan di mahkamah semasa tempoh perniagaan kami terjejas?” soalnya menerusi video di Instagram, semalam.
Sam memberi jawapan balas terhadap video kenyataan Aida yang dimuat naik dalam Instagram sebuah portal hiburan, 28 Mac lalu.
Mengulas lanjut, Sam berkata, dia tidak pernah menayangkan kesenangan atau kesusahan hidup di media sosial.
Jelasnya, semua bukti ketidakmampuan dirinya memenuhi tuntutan nafkah yang terlalu tinggi sudah diserahkan kepada pihak mahkamah.
Dalam pada itu, Sam turut menafikan tuduhan Aida kononnya kali terakhir dirinya berjumpa Maleeq adalah lima hingga enam bulan lepas.
Malah, dia juga kecewa kerana wujud halangan dan kekangan untuk dirinya berjumpa cahaya mata sulungnya.
“Kali terakhir saya jumpa Maleeq adalah pada Disember 2022. Baru tiga bulan, bukannya lima ke enam bulan seperti yang didakwa.
“Nak jumpa anak sendiri pun ada halangan tanpa kebenaran dan pengetahuan saya. Maleeq dia hantar ke kampungnya di Masjid Tanah, Melaka.
“Rupa-rupanya nenek dia yang jaga tetapi nafkah beria-ia minta tinggi. Selama ini saya berurusan dengan nenek Malek dan berulang dari Kuala Lumpur ke Melaka,” jelasnya.
Sam berkata, dia juga hairan kenapa bekas isteri memfailkan hak penjagaan sepenuhnya selepas kes pindaan nafkah tersebut di mahkamah.
“Saya hanya minta dia jadi seorang ibu yang bertanggungjawab. Hubungan saya dengan dia tak wujud pun sebenarnya untuk Maleeq.
“Saya terpaksa sekat nombor dia sebab banyak sangat ugutan dan dia sangat sukar dibawa berbincang. Jangan nak berpura-pura jadi mangsa.
“Ikutkan banyak lagi isu. Saya bukan nak buka aib sesiapa tetapi mahu ceritakan kebenaran supaya fitnah tidak merebak,” tegasnya.
Sam mendirikan rumah tangga dengan Aida pada 25 April 2015 sebelum bercerai empat tahun kemudian dan dikurniakan seorang anak lelaki.
Sam kemudian bernikah buat kali kedua dengan isteri baharunya, Puteri Eifa Ezrin Mohd. Kushairi dan dikurniakan dua cahaya mata.-UTUSAN