KUALA SELANGOR: Amanah sasar untuk memecahkan kubu Pas dengan menguasai Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada Jun atau Julai ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, partinya akan meneruskan hasrat menentang seterunya itu dalam PRN termasuk mempertahankan kerusi dan bertembung dengan mereka di negeri lain seperti Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Mestilah kita sasarkan Kelantan atas nama PH dan BN, yang pentingnya kita akan meletakkan calon, bertanding di kawasan-kawasan pilihan kita dan peluang tetap ada kerana politik ini tidak ada yang tepu, ia dinamik.
“Dinamik untuk kita meneruskan perjuangan kita dengan strategi yang kita tetapkan. Tak perlu tanyalah, bagaimana mereka (Pas) di pihak pembangkang dan kita kerajaan, bagaimana kita akan meletakkan calon-calon, kalau bertembung itu adat. Setakat ini tiada masalah tentang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyertai Walkabout Bazar Ramadan Dataran Eco Grandeur Park di Puncak Alam, hari ini.
Terdahulu Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Ahmad Yunus Hairi memaklumkan partinya bersedia menghadapi PRN termasuk bertarung dalam kawasan-kawasan dikuasai Amanah dan juga yang pernah dimenangi Pas pada pilihan raya sebelum ini.
Dalam pada itu, Salahuddin yang juga anggota Kabinet memaklumkan, Pakatan Harapan (PH) sudah sampai peringkat akhir untuk memuktamadkan pengagihan kerusi sebelum memulakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN).
“Dalam kalangan PH sudah hampir selesai dan kita sekarang sedang menuju kepada mendapat kata sepakat antara PH dan juga BN. Tiada masalah, kita akan putuskan dan rundingan masih berterusan,” ujarnya. – UTUSAN